ADA banyak sebab kenapa dendam kau terasah tajam. Ia logik dan masuk akal.
Kau sememangnya tahu semua yang berkot putih itu ialah anai-anai kapitalis yang membusutkan pemikiran masyarakat. Bergotong-royong menggerit dan menggerut kepala orang Islam yang semakin berakal kontot. Melubangi dengan terowong rahsia dan skandal sehingga jadi labirin yang cukup mengelirukan. Kau panggil ia konspirasi elit- sulit, sofistikated, hanyir dan maha zalim. Macam longkang belakang rumah kau yang berlumut dan tersumbat oleh puntung rokok itu.
Mujur kau ada dua gulung ijazah luar negeri. Lidah fasih pelat Arab dan Inggeris. Akal kau berkonotasi saintifik juga quranik. Kau tidak janggal membaca sifir dan simpang-siur matematik, serta berpidato dengan firman dan hadis. Salah seorang survival Islamis yang mampu mentafsir fakta dan maklumat dengan waras dan proaktif, itulah kau. Tidak hairan, mudah kau memahami dan berempati setelah membaca sebuah buku mirip perubatan nabawi yang ditulis mualaf Amerika berprofil tinggi tentang kebobrokan serta gelojoh puak anai-anai ini. Menggerit. Menggerit. Menggerit. Kau sepak tin Coca-Cola ke dalam longkang- ah, sakitnya kepala kau!
Api pertama membakar hati kau ketika isteri yang sarat diangkut sorong ke dewan bedah kecemasan. Kononnya menyelamatkan nyawa anak dan ibu- mulut manis para doktor. Mereka membebel dalam bahasa penjajah, betapa proses kelahiran ini komplikated, berisiko, dan macam-macam jargon lagi. Kau tahu itu dibuat-buat dan didongengkan. "Hei. Sejak nabi Adam manusia beranak dan membiak. Haiwan pun beranak. Pokok pisang pun beranak. Ia proses alami. Masakan tuhan jadikan fitrah yang berlangsung ribuan tahun begitu bahaya dan zalim." Ya. Berpuluh kenalan kau beranak dalam kolam air di rumah, uh, segar bugar sahaja!
Lebih memanggang kelelakian kau apabila mendapat tahu isteri yang tercinta dibedah oleh seorang doktor pakar lelaki berstatus konsultan. Tanpa sempat mengazankan bayi sulung, segera kau membuka komputer riba dan menaip surat aduan. Tiga puluh lima muka surat panjangnya. Kau Islamis moden, maka hujah kau perlu waras, dihias sabda dan ayat Quran sebagai penguat. Hari yang sama juga kau mengetuk pintu bilik pengarah hospital, meluncurkannya di atas meja, dan berlalu pergi. Tanpa sepatah kata.
Tiga hari kemudiannya, surat jawapan sampai. Kau renyuk, campak dalam longkang di belakang rumah. Tiga puluh lima muka surat panjangnya, yang dibalas hanya: Segala ketidakpuashatian tuan/puan akan kami teliti dan amat dikesali. Pihak kami akan mengambil tindakan proaktif, tegas, dan berkesan bagi mengelak ia berulang lagi.
Kau sepak kotak Prosperity Burger berlogo McDonald ke dalam longkang- ah, ini deklarasi perang! Itu dendam pertama kau, dan ia juga beranak macam pokok pisang.
"Cermin mata adalah taktik rakus para doktor dan optometris untuk mengembungkan poket!" Kau memijak cermin mata anak sulung, suatu hari. Patah dua. Harganya hampir empat angka. "Jadi orang Islam yang bijak, anak. Tuhan tidak mungkin memberi kita mata yang cacat. Bersangka baiklah dengan Tuhan."
Anak berusia lima tahun yang kaget belum mengerti apa-apa itu menangis takut. Dia perlu diajar hakikat barbariknya kehidupan yang penuh keping jigsaw dan konspirasi ini. Dia harus jadi Islamis moden macam kau - dapat mandiri sekalipun digulat abad bercuaca sekular - Amerika-Zionis.
"Setiap penyakit ada ubatnya. Kita tidak boleh menjadi mangsa para pengamal perubatan yang menyembunyikan penawar, tetapi memberikan kita racun dengan bil tinggi." Cermin mata yang patah itu kau campak ke dalam longkang rumah. Simbolik, fikir kau.
"Cermin mata hanya merosakkan, dan tidak mengubati," pujuk kau, memetik dari buku mualaf Amerika berprofil tinggi itu.
Malangnya, usaha kau meleset lagi. Entah bagaimana mereka menyuntik racun itu ke dalam rongga ahli keluarga kau. Mungkin melalui pili air yang dibancuh klorin dan bahan toksik rahsia. Atau melalui mesej subliminal di peti-peti televisyen dan Internet. Realitinya, setelah lima tahun tidak berkaca mata, anak sulung kau disahkan rosak penglihatan kekal. Amblyopia - itu nama diberi para oftalmologis konspirator. Aneh dan bombastik dengarnya, agar dapat mengelabui sejagat. Hei, kau ada dua gulung ijazahlah! Tidak terpedaya dengan jargon.
Dendam
Uh! Dendam kedua kau meruncing.
Ketika virus influenza H1N1 diumum sebagai pandemik oleh World Health Organization (WHO) kau ketawa berdekah-dekah. "Itu sandiwara antarabangsa," kata kau. Tentu saja kuman itu telah dijuruterakan secara genetik oleh bijak pandai Yahudi yang berkesumat terhadap segala goyim yang hina. Ia helah klasik.
Taikun vaksin dan para doktor seperti biasa menggerit-menggerut lubang kepala simpatisan dunia yang panik ketakutan. Memeras tengkuk negara-negara dunia ketiga dengan brosur, vaksin, dan ubat yang didarab tujuh segala bilnya. Tujuh belas ribu kematian, ah, itu sifir yang dimanipulasi media. Propaganda adalah taring kuku sengat para usahawan perubatan beragama Machiavellian ini. Sudahnya, khinzir yang naif itu pula dikambinghitamkan sebagai pembawa.
"Lucu sungguh sandiwara ini."
Jiran sebelah rumah, suatu hari, diangkut ambulans kerana H1N1. Dihantar pulang dua hari kemudian berserkup kain putih, kepala sampai kaki. Diam macam patung. "Ini lah. Seorang lagi mangsa kerakusan orang-orang berkot putih itu, duit diambil tapi ubat disimpan". Kau mencangkung dengan rokok keretek di tepi longkang rumah yang tersumbat, mengintai-intai dengan penuh kesumat. Bergerunyut di muka air bertakung itu ribuan jentik-jentik yang lincah, seperti kepala kau yang disimpangsiur segala macam teori konspirasi elit yang pintar.
Dendam dimuktamadkan ketika mereka, anai-anai Yahudi itu membaham keluarga kau. Kau tahu industri vaksin dipelopori anak-beranak Rockefeller, kapitalis Yahudi terkutuk. Slogan vaksin itu autism dan vaksin itu najis yang kauteriakkan menyebabkan para konspirator elit resah dan bertindak. Anak sulung kau mati kerana measles yang teruk sehingga memakan otak. Ya, anak-anak kau tidak pernah divaksin. Anak kedua pula rendah IQ kerana congenital Rubella. Ini khianat konspirasi. Gagal menyuntik vaksin ke tubuh anak-anak, mereka menghantar kumannya pula. Uh! Jangan ditanya bagaimana, para konspirator itu geliga.
"Perang yang muktamad!" Dendam ketiga kau pula terasah. Perlu kau bertindak.
Pedang lawan pedang. Propaganda lawan propaganda.
Selaku Islamis moden berpengaruh kau juga punya punya taring kuku sengat yang mujarab. Cuma bezanya, kau gunakan untuk perjuangan memandaikan umat tentang konspirasi elit yang berbusut dalam kepala akal sinting masyarakat moden ini. Hijab perlu dibuka, agar masyarakat tahu betapa dunia perubatan moden bukanlah penyembuh, tapi kanser gelojoh yang harus diruqyahkan dengan pemikiran revolusionaris kau.
Kau Islamis moden yang cerdas. Perlu kerangka pemikiran dan idea yang segar. Begini, strategi kau. Minimumkan kebergantungan kepada orang-orang berkot putih di hospital. Pesakit kencing manis tidak perlu menelan sekian banyak pil yang memandulkan dan menjahanamkan ginjal. Kembali kepada sunah - di dalam madu terdapat penawar- ya, ambillah madu sebanyak-banyaknya. Ini. Ini. Madu asli yang kaujual. Diimport dari Arab Saudi, tanah para anbia. Berbaloi bayar mahal, maslahat lumayan. Penghidap kanser juga begitu. Cukuplah dengan taktik dayus para onkologis yang berlidah retorik. Ini. Ini. Segala herba dan ramuan yang kaukutip sendiri dari tanah. Giling, tumbuk, bancuh, rebus, dan kaukapsulkan sendiri di belakang rumah. Yakini, tuhan mencipta penyakit dan Dialah penyembuhnya. Basmalah. Sedar tak sedar, kau cukup belanja ronda-ronda London dan Paris. Empayar niaga kau ranum, dan kau cipta pula ubat pelangsing, makanan tambahan, dan stem cell.
Kelahiran juga harus alami, kau menegaskan. Ibu-ibu yang sarat perlu diceramahkan tentang segala bentuk senaman, pusing-duduk, teknik pernafasan, dan seribu satu tips bernas yang dapat menjauhkan komplikasi kelahiran. Quran telah menjelaskan, kejadian manusia dari setitis air. Perjalanan harus berkesinambungan, kelahiran juga perlu digenangi air (dalam kolam, misalnya) untuk mengakrabi asal-usul. Itu fitrah. Perubatan moden hanya menyumbatkan salur darah kita dengan racun yang mencacatkan fetus. Kita bukan robot yang harus diberanakkan teknologi. Segala risiko kematian tidak lebih daripada urban-legend yang menguntungkan para doktor.
Vaksin pula tak lebih dari tali-tali boneka Yahudi. Ia memandulkan umat Islam. Merencatkan akal. Membolehkan mereka mengawal manusia. Yahudi ialah Gepetto dan manusia lain ialah Pinocchio yang berhalusinasi mahu menjadi manusia sempurna.
Ia logik dan masuk akal, bukan?
Hari ini para kapitalis dari hospital itu muncul dengan penipuan baru. Itu petanda mereka kian tertekan dengan gagasan kau yang mencelikkan mata masyarakat. Mereka namakan ia - wabak denggi - dan kau ketawa berdekah-dekah. Nama yang lucu, bukan?
Senapang lawan senapang. Propaganda lawan propaganda.
Kau harus menuliskan idea antikonspirasi yang sedang berlegar-legar di media, seperti buku yang ditulis mualaf Amerika yang berprofil tinggi itu. Nama kau akan terabadi sebagai pelopornya. Buku itu akan jadi klasik, rejuvenasi praktis kesihatan umat Islam yang patuh syariah. Seperti Qanun fil thibb yang tak pernah mati. Seperti dendam kau yang tak pernah henti.
Kau duduk di tepi longkang belakang rumah, menaip dengan komputer riba. Puntung rokok keretek bergelimpangan dalam air cetek. Tergaru-garu lengan yang kejap lemak. Sesekali meneguk air berkarbonat. Sesekali menghirup minuman berkafein pekat. Ralit kau tumpahkan semua idea, gagasan, dendam, dan pemikiran dalam naskhah tulisan. Banyak yang kau singgung, termasuk wabak denggi mainan para konspirator elit itu. Segala idea berdengung dalam cepu kepala macam Aedes yang lapar.
Ceramah
"Ibnu Sina, ilmuwan Islam agung itu tak pernah sebut tentang denggi sedangkan bukunya diguna pakai sekolah perubatan Eropah berkurun lama," jerkah kau dalam satu ceramah. Riuh rendah sorakan para pengikut.
"Tentu sekali ia kuman baru. Genetik tropika yang dimutasikan oleh agen Yahudi dan Amerika. Wilayah Nusantara dan Asia Selatan padat sekali umat Islamnya, mereka perlukan senjata biologi yang bercitra tempatan untuk melumpuhkan kita. Ini perang psikologi, perang konspirasi," suara kau bergegar lagi.
"Tuan-tuan pergi ke hospital, konon diagnosisnya ialah denggi. Padahal mereka menyuntik kita dengan cairan yang melumpuhkan imunisasi tuan-tuan. Sakit yang sedikit diperbanyakkan. Penawar yang mudah dipayahkan." Kali ini tiada sorakan para pengikut.
Suasana terasa tumpat dengan senyap.
"Denggi propaganda Yahudi! Senjata biologi Amerika!"
Suasana masih tumpat, dan kau segera kaget.
Teet
Teet
Teet. Bunyi ganjil itu entah bila mengambil alih.
"Prof Khairil Idham, dia meracau lagi." Antara dengar dan tidak, menggetar gegendang kau.
"Delirious . Tekanan darahnya jatuh mendadak. Hypoxic kepada otak, mungkin. Gandakan tiga inotrope , transfusikan dua beg darah. Saya syak occult bleeding. Hubungi Mr. Amirul dari jabatan bedah," suara maskulin itu tegas memberi arahan. "Paras glukos juga tak terkawal."
"Dia diabetik, tapi tak pernah jalani rawatan." Doktor bius muda itu mencatat sesuatu pada carta pesakit.
"Kawasan kejiranannya ada tujuh kes denggi berdarah, Prof. Khairil Idham. Pesakit ini yang ketiga dimasukkan ke ICU. Inspektor kesihatan dari unit vektor sudah buat tinjauan dan pewasapan. Longkang belakang rumah pesakit sudah macam lubuk nyamuk," nada jengkel itu macam dengung aedes yang mengejek kau.
Kau cuba membuka mata, tetapi tidak terdaya. Kau nampaknya menjadi mangsa racun yang disuntik melalui pembuluh darah, terlantar atas katil empuk.
"Tak perlu menghukum, Dr Faisal. Itu bukan tugas kita. Kebanyakan penyakit asalnya dari sikap negatif kita. Doakan yang terbaik untuk dia."
Kau memaksa lagi. Kelopak mata bergerak. Bibir bergetar. Segenap kekuatan ditumpukan pada lidah. "Denggi. Kau anai-anai Yahudi
"
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd