Barcelona mara ke suku akhir
Gol pada babak kedua daripada Lionel Messi dan Dani Alves membolehkan Barcelona menempah tempat dalam suku akhir Liga Juara-juara buat kali ketujuh berturut-turut setelah menewaskan Manchester City 2-1 di Camp Nou semalam.
Kemenangan semalam membolehkan Barca layak dengan agregat 4-1.
City yang berhasrat untuk menjadi pasukan pertama bangkit daripada ketinggalan 0-2 daripada perlawanan pertama di laman sendiri dalam era Liga Juara-juara, menyaksikan peluang mereka untuk merapatkan jurang defisit melalui Samir Nasri dan Edin Dzeko dinafikan oleh Victor Valdes dalam kedua-dua babak permainan.
Messi memusnahkan terus harapan pasukan pelawat ketika permainan berbaki 23 minit apabila dia merembat bola dalam kawasan petak penalti untuk gol kelapannya dalam kempen Liga Juara-juara musim ni.
Pasukan pelawat kemudian terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila Pablo Zabaleta dilayangkan kad kuning kedua kerana mempertikaikan keputusan pengadil Stephane Lannoy dari Perancis yang tidak memberikan sepakan penalti yang sewajarnya diperoleh Dzeko.
Kapten City, Vincent Kompany berusaha menyelamatkan maruah pasukan dengan sekurang-kurangnya melakar keputusan seri dalam perlawanan semalam apabila meledakkan gol seminit sebelum permainan tamat, tetapi Alves kembali meletakkan Barca di depan pada minit ke-90.
Pemain tengah Barcelona, Cesc Fabregas berkata, keputusan tersebut sekurang-kurangnya meredakan tekanan yang dirasai pasukannya sejak beberapa minggu lalu ekoran prestasi hambar dalam aksi La Liga.
Perlawanan ini amat sengit, kami bermain menentang pasukan yang berkelas dunia. Kami sedar perlawanan ini akan jadi sangat mencabar. Sebelum ini, kami berjaya mencatat keputusan baik, menang 2-0 di padang lawan. Bukan mudah untuk beraksi di Manchester dan melakar kemenangan.
Kami berjaya mencipta banyak peluang, malah sepatutnya kami diberi sepakan penalti dan gol yang dijaringkan Neymar tidak ofsaid.
Kami cuba bersikap positif dan bermain lebih baik berbanding dalam beberapa perlawanan sebelum ini, tetapi kemenangan ini benar-benar membantu meredakan tekanan yang dirasai," katanya.
Sementara itu, Kompany melahirkan rasa kesalnya dan berpendapat keputusan Zabaleta dibuang padang adalah tidak adil dan merugikan City.
Tiada apa yang tinggal, kami telah memberikan segala-galanya.
Terdapat beberapa peluang untuk kami menjaringkan gol dan sudah tentu itu mampu mengubah permainan ini. Ini kali kedua kami terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada ketika kami berhak mendapatkan sepakan penalti, bukan mudah untuk berdepan dengan situasi sebegini menentang pasukan yang bagus," katanya.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 ulasan: