Outbrain

Skrip, kualiti filem lemah

filem-filem komedi seperti Adnan Sempit

BERILAH watak apa sekali pun kepada Shaheizy Sam sama ada dalam drama ataupun filem, dia mampu melakonkannya. Pernah dulu ada pihak yang kata dia hanya sesuai melakonkan watak-watak yang serius sahaja.

Bagaimanapun filem-filem komedi seperti Adnan Sempit, Ngangkung dan Jangan Pandang Belakang Congkak yang dilakonkannya secara tidak langsung membuktikan dia juga mampu mempelbagaikan bakatnya itu.

Namun, bakat sahaja belum mencukupi buat Sam. Dalam hati pelakon berusia 32 tahun ini sebenarnya terbuku rasa tidak puas hati dengan watak-watak dan jalan cerita yang telah dilakonkannya selama lebih sedekad ini.

Menurut Sam, dia mengakui sukar menemui skrip dan jalan cerita yang berkualiti dalam filem-filem lakonannya sejak akhir-akhir ini. Justeru, jika begitulah masalahnya, mengapakah pelakon ini masih juga terus menerima tawaran berlakon?

“Saya tiada pilihan kerana berlakon adalah kerjaya saya. Terus terang saya cakap saya belum puas dengan filem-filem lakonan saya. Kadang-kala saya sendiri malu apabila tengok lakonan saya dalam filem-filem yang dikatakan tiada kualiti.

“Tetapi apa boleh buat kerana bukan semua filem macam itu. Ada juga filem yang berkualiti. Mungkin kualiti daripada pandangan saya berbeza, contohnya filem Songlap yang saya cukup puas hati berlakon dalam filem itu.

“Cuma dalam ini kita perlukan lebih ramai penulis skrip dan pengarah yang bagus, barulah pelakon macam saya ada semangat untuk berlakon. Ada pelakon yang bagus sahaja tidak cukup kalau skripnya hancur," katanya kepada Hits.

Jelas Sam, dia semakin mengambil berat soal kualiti skrip, jalan cerita dan watak-watak yang akan dilakonkannya kerana ia akan memberi reputasi sama ada baik ataupun buruk di mata para peminatnya pada masa depan.

Justeru, adik kepada pelakon Zizie Ezette ini merasakan sudah sampai masanya dia kembali menjaga bakat dan reputasi agar dia bukan sahaja puas dengan watak-watak lakonannya tetapi juga memberi manfaat kepada para penonton.

“Sudah sampai masanya saya kembali ke haluan asal saya macam semasa mula-mula berlakon drama televisyen dulu. Dulu saya ada pegangan tersendiri dalam bidang lakonan tetapi sekarang ini ia semakin jauh tersasar.

“Saya tidak dapat lari daripada mengejar tawaran berlakon yang mana kalau cakap soal kekayaan sampai bila pun tidak akan cukup. Apa pun saya bersyukur kepada Allah kerana setakat ini rezeki saya dan keluarga cukup.

“Untuk kembali ke haluan asal saya kena dipertemukan dengan orang-orang di belakang tabir yang membawa benda-benda berkualiti juga. Kalau tidak bakat saya akan hanyut dan mungkin hilang macam itu sahaja," ujarnya.



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

0 ulasan: