Outbrain

Zayn Malik Malaysia?

Zayn Malik Malaysia?

JIKA anda peminat kumpulan One Direction, khususnya Zayn Malik, tidak payah pergi jauh-jauh, di Malaysia pun ada insan yang wajahnya mirip jejaka itu.

Ahmad Redza Rosli, bukanlah artis popular kerana dia masih merangkak untuk mencipta nama sebagai pelakon. Namun kalau pemuda berusia 22 tahun ini lintas di hadapan anda, pasti anda akan toleh dua kali kerana sangkakan dia anggota kumpulan One Direction.

Sebagai orang baharu dalam bidang seni, Redza terus terang menyatakan rasa tidak selesa apabila dirinya dibandingkan dengan Zayn Malik yang sedia popular itu.

“Siapalah saya nak dibandingkan dengan Zayn yang punya ribuan peminat itu. Pernah sekali sewaktu saya dan keluarga bercuti di Jakarta, ada orang Brunei datang tegur untuk mendapatkan tanda tangan kerana dia sangka saya anggota One Direction. Waktu itu kumpulan tersebut belum popular lagi.

“Sebenarnya saya malu kalau ada yang kata wajah saya mirip seperti dia, kerana saya bukanlah sesiapa. Kalau boleh saya mahu cipta nama dengan kebolehan sendiri tanpa dikaitkan dengan sesiapa," katanya yang pernah berlakon drama bersiri Tanah Merah, arahan Khabir Bhatia.

Redza yang gemar membaca novel itu berkata, drama pertama lakonannya adalah Kamelia Katrina dan dia sendiri tidak sangka berpeluang muncul dalam drama tersebut.

“Saya memang suka seni dan sering terlibat dalam aktiviti seni sekolah. Saya memang tidak sangka dapat peluang muncul dalam Kamelia Katrina kerana waktu itu saya temankan kawan ke lokasi dan tiba-tiba pengurus produksi suruh saya berlakon. Arahan itu ibarat, orang mengantuk disorong bantal.

“Sejak itu, kalau ada kesempatan memang saya tidak akan lepaskan peluang. Di samping itu saya juga mengikuti bengkel latihan lakonan yang dianjurkan di Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas)," katanya yang juga berlakon dalam telefilem Anak Imam Argentina, arahan Nizam Zakaria.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, pembabitannya dalam bidang seni mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Atas kepercayaan itu, dia berusaha untuk membuktikan kepada keluarga yang dia mampu menjana pendapatan berdasarkan kerjaya seni.

“Bersyukur kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan menasihatkan saya agar sentiasa menjaga nama baik keluarga. Sekarang ini tumpuan saya adalah pada bidang seni dan sebagai orang baharu, saya sentiasa mencari peluang.

“Kalau ada uji bakat, pasti saya pergi kerana dengan cara itu saya dapat mengenali lebih ramai penggiat seni. Sebenarnya selain berlakon, saya juga meminat muzik. Di waktu lapang saya gemar bermain gitar dan dulu pernah ada rancangan nak tubuh kumpulan dengan rakan-rakan tapi tidak menjadi," katanya yang gemarkan lagu berirama jaz.

Tambahnya, sebagai pendatang baharu, dia tidak kisah melakonkan sebarang watak kerana dari situ dia dapat menimba pengalaman.



Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 ulasan: