Outbrain

Realiti sosial

Realiti sosial

TALIAN Neorealism merupakan satu aliran perfileman yang mula diperkenalkan sekitar lewat tahun 1940-an sehingga tahun 1950-an selepas berakhirnya Perang Dunia Ke-2. Gerakan ini mula diperkenalkan di Itali.Kebanyakan filem yang dihasilkan dalam aliran ini adalah filem yang memaparkan tentang realiti sosial yang berlaku di negara tersebut selepas seksaan perang. Pengarah terkenal dengan aliran Italian neorealisme ketika itu antaranya Vittorio De Sica, Cesare Zavattini, Luchino Visconti dan Giuseppe De Santis hanya memaparkan tentang kisah yang benar-benar berlaku dan turut menyelitkan unsur dramatik.Filem yang dihasilkan oleh Vittorio berjudul The Bicycle Thief (1948) merupakan salah satu contoh filem yang memaparkan tentang realiti sebenar apa yang berlaku terhadap penduduk di Itali. Filem ini tidak menggunakan pelakon profesional sebaliknya orang biasa di gelandangan. Ciri-ciri filem Italian neorealisme ialah belanja murah, isu sosial dan tidak ada pelakon profesional. Apa yang dipaparkan melalui filem ini adalah tentang masalah ekonomi yang sedang melanda Itali ketika itu yang menyebabkan negara tersebut dilanda masalah kewangan. Banyak juga industri filem di luar Itali yang turut menggunakan stail yang sama antaranya industri filem Iran, India dan jiran tetangga kita, Indonesia. Pembikin filem di negara-nagara yang disebut tadi sememangnya tidak pernah takut untuk memaparkan tentang realiti sebenar yang sedang berlaku di negara mereka.


Industri filem India misalnya cukup lantang menonjolkan realiti kehidupan pada sebahagian besar karya mereka. Sebagai contoh filem yang dihasilkan oleh pengarah kontroversi, Deepa Mehta yang telah menghasilkan tiga filem yang memaparkan tentang realiti penduduk di India berkenaan kasta yang menjadi pegangan masyarakat di sana.Pegangan yang diwarisi daripada kepercayaan kuno itu masih kuat dan utuh di India dan disebabkan kesedaran Deepa Mehta maka terhasillah beberapa filem realiti tersebut antaranya, Water, Fire dan Earth.Ketiga-tiga filem ini merupakan antara filem yang kuat dari segi pengisiannya sehinggakan ada sebahagian masyarakat di sana cukup marah sehingga berlaku rusuhan ketika filem-filem tersebut ditayangkan.Selain itu industri filem Indonesia turut menggunakan pendekatan yang sama kepada sebahagian filem-filem hebat mereka antaranya Daun Di Atas Bantal, Cinta Dalam Sepotong Roti, Seogija dan Aku Ingin Menciummu Sekali Sahaja.

Filem-filem ini diarahkan oleh Garin Nugroho. Kebanyakan filem yang dihasilkan oleh Garin menggunakan bajet yang rendah. Apa yang digarap oleh Garin di dalam setiap filem arahannya adalah realiti yang sedang berlaku di negaranya. Begitu juga yang digunakan oleh filem Iran. Children of Heaven misalnya antara filem yang memaparkan tentang kanak-kanak jalanan di sana. Filem arahan Majid Majidi ini juga tidak menggunakan kos yang tinggi namun berjaya di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun apa yang berlaku pada industri perfileman kita cukup berlainan. Kebanyakannya akan memaparkan tentang kemewahan serta kekayaan yang sememangnya yang jarang dikecapi oleh kebanyakan rakyat kita. Apa salahnya sekiranya memaparkan tentang realiti kehidupan di rumah flat serta di kampung-kampung misalnya kerana kisah-kisah seperti ini juga lebih rapat dengan masyarakat. Cuba lari kebiasaan, terlalu banyak filem kita yang menonjolkan tentang cara hidup mewah. Sepatutnya pengarah dan penerbit patut lari daripada kepompong tersebut jika ingin melihat filem kita lebih bersifat terbuka dan tidak statik.




0 ulasan: