Pendapat tentang Skyrim
Setelah menghabiskan kira-kira 32 jam dengan Skyrim, saya kini berhenti sebentar daripada game ini. Bagi sebuah game dengan konsep open-world yang sangat hangat diperkatakan, ia bukanlah rekod peribadi yang hebat. Saya berhenti bukan kerana saya dah habiskan jalan cerita utamanya, tapi kerana saya dah puas. Dan ini adalah pendapat saya tentang Skyrim.
Kelebihan Skyrim
1 – Immersion
Oleh kerana saya baru sahaja kembali ke dalam dunia PC game, saya kini melihat istilah immersion di mana-mana. Apa itu immersion, atau jika nak diterjemahkan dengan Bahasa Malaysia gred B4 saya ini, keasyikan? Pada sebuah game, immersion membuatkan anda khusyuk dengan dunia yang dipersembahkan oleh game tersebut, seolah-olah anda memang berada di dalamnya. Ianya sama sahaja seperti membaca novel ataupun menonton filem Hindustan.
Bagi Skyrim, daya keasyikan ini boleh dilihat pada grafiknya. Dunia Skyrim memang sangat cantik. Mungkin saya agak ketinggalan dengah pelbagai game lain yang lebih canggih visualnya seperty Crysis, namun kelebihan Skyrim adalah ia mampu dijalankan oleh komputer tahap lebih rendah. Laptop saya hanya mempunyai kad grafik nVidia GeForce 2GB, namun mampu bermain Skyrim pada tahap medium. Bagi sebuah game yang dikeluarkan hanya dua tahun lalu, ini adalah berita baik buat gamers yang tidak kaya-raya seperti saya.
Aktiviti kegemaran saya dalam Skyrim adalah menunggang kuda merempuhi malam yang sepi ke destinasi yang tak pasti. Bagaikan seorang pengembara merentasi gunung ke gunung diselimuti angin malam yang sejuknya hingga ke tulang sumsum. Malah sewaktu saya melawat gunung berapi di Surabaya bersama rakan-rakan saya (ini dalam dunia sebenar), saya asyik terfikirkan, “Ini sebiji macam main Skyrim!”. Bermain Skyrim membuatkan saya lebih menghargai keindahan alam semulajadi.
2 – Pergerakan dan sudut kamera
Ini mungkin merupakan perkara yang selalu dilepas pandang, namun ianya boleh merosakkan sebuah game jika tidak dilaksanakan dengan baik. Contohnya sewaktu bermain Prince of Persia: Warrior Within, sudut kamera asyik bertukar sewaktu Prince bergerak, malah sewaktu dia berlawan! Saya jadi geram dengan fungsi ini dan tinggalkan Prince of Persia tidak terusik.
Dalam Skyrim, pergerakan Dragonborn adalah sangat lancar, mirip kebanyakan game FPS yang popular. Selalunya apabila bermain RPG, saya menggunakan top-down view di mana saya dapat melihat watak yang saya mainkan dari atas, supaya senang saya nak melihat musuh dan mengatur strategi. Namun setelah bermain Skyrim, saya kini hanya menggunakan first-person view atau third-person view pada semua RPG sekiranya boleh.
Kekurangan Skyrim
1 – Immersion… yang tak berapa jadi
Malangnya, daya keasyikan dalam Skyrim terlalu bergantung kepada grafik dan visual. Sukar untuk mempertaruhkan perasaan saya yang rapuh bak kaca ini pada jalan cerita mahupun watak-wataknya. Ini kerana tidak kira apa yang saya katakan atau lakukan, ianya tidak memberi perbezaan pun pada dunia Skyrim. Kadang-kadang saya tertekan dialog yang salah, namun saya masih akan diberi quest yang sama, ganjaran yang sama, dan jalan cerita tetap berterusan secara linear.
Kebanyakan quest yang diberikan pun lebih kurang sama. Pergi ke lokasi x, jumpa atau bunuh sipulan, dan kembali untuk mendapatkan ganjaran. Perjalanan ke lokasi tersebut tidak mencabar sama sekali kerana saya hanya dipandu oleh anak panah yang lebih tepat daripada GPS.
2 – Sistem pertarungan
Saya hanya ada satu taktik: rempuh musuh macam orang gila dan tekan mouse dengan kepantasan yang menakjubkan, sampailah menang. Yang sedihnya, cara ini memang berkesan hinggalah ke akhir game. Ditambah pula dengan sistem quest yang cepat basi, saya jadi jemu dengan Skyrim.
Ini bukan bermakna Skyrim memerlukan sistem pertarungan kompleks untuk menjadi sebuah game yang bagus, kerana terdapat banyak perkara lain yang boleh dilakukan dengannya. Menyeluk saku, menyerang secara diam-diam, cari kerja, beli rumah, kahwin. Namun tiada satu pun daripadanya dilaksanakan secara mendalam. Ini menjadikan Skyrim hanyalah sebuah simulator memburu naga yang sangat cantik, tidak lebih dari itu.
Kata-kata akhir
Saya sangat sukakan Skyrim sebenarnya. Saya seronok meneroka imaginasi sebagai watak-watak yang berlainan dalam dunia mitos Eropah ini. Adakalanya saya seorang kesatria dengan pedang sakti yang ingin menegakkan keadilan. Adakalanya saya seorang ahli sihir yang menggunakan ilmu hitam untuk membunuh dan mencuri demi harta dan kuasa.
Skyrim juga telah menetapkan citarasa yang tinggi bagi sebarang game FPS/TPS selepas ini, dari segi grafik dan juga kawalan pemain.
Namun penulisan yang dipersembahkan oleh Skyrim agak hambar. Baik dari segi latar belakang, jalan cerita, mahupun perwatakan NPC. Saya tidak dapat menaruh simpati dengan sesiapapun dalam Skyrim, kecuali Lydia, kerana beliau telah berjanji untuk menampung beban di bahu Dragonborn.
Paling tidak pun, Skyrim bolehlah dijadikan pelepas geram sementara menunggu Game of Thrones musim keempat yang tak kunjung tiba. Itu sahaja.
Sumber : Sembangkomputer
0 ulasan: