Outbrain

Google disaman halang siasatan AS

Google disaman halang siasatan AS

GOOGLE Inc menerima saman AS$25,000 (RM75,291) atas kesalahan menghalang penyiasatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap kumpulan data miliknya bagi projek Street View, yang membolehkan pengguna melihat imej atas jalan raya apabila mereka memetakan lokasinya.

Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan AS (ACC) yang mengenakan denda itu lewat Jumaat lalu, berkata, Google didakwa mengumpulkan maklumat peribadi tanpa kebenaran dan sengaja tidak bekerjasama dengan siasatan yang dijalankan oleh FCC.
“Google enggan mengenalpasti mana-mana kakitangannya ataupun menghantar e-mel kepada kerajaan.

“Salah laku seperti ini mengancam usaha dan keupayaan suruhanjaya untuk menjalankan siasatan ke atas sebarang kemungkinan pelanggaran akta komunikasi dan peraturan yang ditetapkan oleh suruhanjaya, dan ia juga memilih untuk tidak mengenal pasti kakitangannya,” katanya dalam perintah FCC bertarikh 13 April.

Google dalam kenyataannya berkata, ia menyerahkan semua maklumat kepada agensi itu dan mencabar keputusan agensi itu yang mendakwa pihaknya tidak bekerjasama dalam siasatan itu.

“Seperti dinyatakan FCC dalam laporan mereka, kami menyediakan semua bahan yang badan pengawal seliaan itu mahukan bagi menjalankan siasatan dan kami dikatakan tidak bersalah dalam sebarang usaha melanggar undang-undang.

“Kami tidak setuju dengan perincian yang dikemukakan FCC berhubung kerjasama kami dalam siasatan mereka, ” kata syarikat laman web enjin carian utama dunia itu.
Antara Mei 2007 dan Mei 2010, Google mengumpulkan data daripada rangkaian WiFi di seluruh dunia khususnya AS dalam langkah membangunkan projek Street View, yang memberikan pengguna Google Map dan Google Earth melihat imej struktur dan tanah di berada di seberang jalan atau lebuh raya.

Namun begitu, Google turut dikatakan mengumpul kata laluan, senarai penggunaan internet pengguna dan maklumat peribadi yang sensitif yang tidak diperlukan dalam projek pusat data itu, kata FCC.

Google pada Mei 2010 lalu mengumumkan yang ia mungkin sudah mengumpulkan bahan yang dipanggil muatan data sehingga menyebabkan siasatan FCC ke atasnya berhubung pelanggaran akta Komunikasi.

Sumber : Berita Harian

0 ulasan: