Outbrain

Adi urus agensi umrah

Adi urus agensi umrah

TAHUN 2014 dimulai dengan pencapaian yang cukup cemerlang. Baharu sahaja menubuhkan sebuah agensi mengelola urusan umrah, Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 33, memberitahu semua yang berlaku itu langsung tidak dirancang.

Hadid Travel & Tours yang menyediakan pakej mengerjakan umrah, dilihat percaturan terbaharu aktor kacak itu.

Mengakui bukan mudah untuk menceburi satu bidang asing, bagi Adi semua yang berlaku dalam hidupnya juga adalah satu permulaan.

Tidak pernah melupakan apa yang dilalui sepanjang tahun 2013, Adi kini mempunyai misi yang lebih besar untuk masyarakat menilai siapa sebenarnya dia.

“Kehidupan saya normal, dan lebih baik. Apa yang saya percaya setiap ujian yang diturunkan akan disertakan hikmah.

“Jika tahun lepas saya lebih kepada lakonan. Tahun ini pula saya beri peluang buat perniagaan," katanya ringkas.

Menjelaskan kewujudan Hadid Travel & Tours, menurut Adi dia turut tidak sangka akan meneraju syarikat berkenaan.

Walaupun masih baharu, Adi menjelaskan dia sedaya upaya menyediakan khidmat terbaik buat mereka yang memilih agensi miliknya itu untuk ke Tanah Suci.

“Bila kita ceburi bidang baharu, semua perkara kita perlu belajar. Bila wujudkan Hadid Travel & Tours saya tahu bidang ini tidak ada kena mengena dengan dunia lakonan yang sudah saya lalui selama 13 tahun.

“Kumpulan pertama yang diuruskan saya akan berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 13 Mac ini. Saya juga akan ke sana tetapi bukanlah sebagai ustaz pengiring, tetapi sekadar menguruskan segala urusan sahaja. Kami akan sediakan ustaz yang lebih arif untuk membantu mereka," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran teater Di Bawah Lindungan Kaabah di Istana Budaya baru-baru ini.

Adi menafikan menggunakan namanya untuk melariskan syarikatnya itu.

Menurut Adi, pemergiannya ke sana lebih kepada menyelesaikan urusan berkaitan jemaah yang akan berada di bawah Hadid Travel & Tours.

Mengakui teruja, Adi juga tidak menolak untuk berada di sana hampir setiap bulan selepas ini.

“Dengan wujudnya Hadid Travel & Tours, saya mungkin akan berada di Mekah setiap bulan.

“Bulan Mac ini saya akan ke sana lagi, tetapi bukan untuk menyertai mereka. Saya akan uruskan perkara yang berkaitan logistik, tempat tinggal dan lain-lain. Tetapi kalau ada permintaan yang mahu saya ikut serta, saya tidak akan menolak," katanya tulus.

Selama 13 tahun dalam dunia lakonan, Adi tidak berselindung untuk menjelaskan ada sesuatu yang membuatkan dia berani untuk menubuhkan Hadid Travel & Tours. Percaya Mekah sebagai pusat tumpuan umat Islam, ada kelebihan yang menguatkan pendiriannya.

“Memang saya tiada niat pada mulanya untuk meneruskan Hadid Travel & Tours. Tetapi ada sesuatu yang membuat saya berani mewujudkan Hadid Travel & Tours, berseorangan. Ke mana juga kita pergi, kiblatnya hanya satu," katanya yang turut menjelaskan maksud Hadid ialah besi dalam bahasa Arab.

Bakal melancarkan syarikatnya itu tidak lama lagi, Adi berharap kewujudan Hadid Travel & Tours dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Melalui syarikat ini, saya menjadi pengantara buat jemaah untuk memudahkan urusan mereka ke sana, ini saya anggap sebagai ibadah," katanya.

Dunia lakonan?

Melihat kepada condongan pilihan kerjayanya kini, ada yang musykil tentang niat sebenar pelakon kacak ini. Ada yang mula bertanya benarkah ini sebagai tanda permulaan buat Adi untuk meninggalkan dunia lakonan.

“Saya tidak akan tinggalkan dunia lakonan, soalnya semua masih sama.

“Saya anggap ini permulaan baharu dan saya tidak perlu tinggalkan apa-apa. Sebelum ini juga saya akan fokus untuk semua kerja yang saya lakukan, sama juga untuk perniagaan ini," katanya.

Tidak dinafikan dia antara pelakon lelaki dambaan peminat wanita. Lakonan romantik yang dipamerkan sentiasa menjadi.

Bagaimanapun memiliki sebuah syarikat yang menguruskan soal umrah ke Tanah Suci tentunya ini berkaitan dengan nilai yang Adi miliki. Ditanya sama ada ini akan menyekat penerimaan watak yang akan diterima, Adi dengan jelas menyatakan pendiriannya.

“Saya tidak rasa dunia lakonan di Malaysia ini terlalu teruk. Setiap watak juga datang dengan batas. Jadi saya tidak risau soal itu.

“Saya tidak akan meletakkan apa-apa sekatan untuk tawaran lakonan saya," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Adi juga bakal menguruskan peniagaan logistik serta menjadi pemborong untuk barangan bilik air buatan China. Menjelaskan keadaan diri yang semakin sibuk kini, Adi yakin dunia perniagaan akan mendapat layanan yang sama seperti dunia lakonan.

“Walaupun suatu hari nanti kedua-dua bidang ini menjanjikan tahap pemulangan yang tinggi, saya kekal dengan pilihan untuk meneruskannya kedua-duanya.

“Kedua-dua bidang ini juga ibadah, jadi tiada sebab untuk saya meninggalkan mana-mana bidang untuk beri lebih tumpuan," katanya yakin.

Tidak menolak untuk menjawab soalan mengenai skandal yang pernah mengaitkan dirinya, Adi dengan tenang menjelaskan dia tidak ada kena mengena dengan perkara itu lagi.

Walaupun diasak kembali dengan tuntutan bekas suami wanita tersebut, Adi dengan jelas memberitahu di pihaknya tiada apa lagi yang berbangkit.

“Di pihak saya, kami tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan perkara tersebut dan kami percaya dengan siasatan polis untuk kes ini di tutup.

“Jadi saya tidak perlu tahu apa yang mahu dilakukan pihak mereka," katanya.

Kulit semakin cerah

Sedang sibuk dengan penggambaran filem Kanang Anak Langkau, menurut Adi dia kini banyak menghabiskan masanya di dalam hutan di Trong, Perak. Melihat kepada penampilannya kini, ada sesuatu yang berbeza mengenai Adi.

Tidak dinafikan kulitnya kini semakin cerah, ada kejutan baharu yang akan di tampilkan Adi kelak.

“Itulah sepatutnya gelap sebab sibuk dengan penggambaran, mungkin sebab pengambilan satu produk ini. Saya akan lancarkan kolagen yang saya guna tidak lama lagi, Sudah dilancarkan di Indonesia produk ini akan dibawa ke Malaysia tidak lama lagi.

“Berkenaan produk Fareena pula, saya masih menjadi rakan niaga mereka, jadi tidak timbul sebarang isu untuk ini. Mungkin ada yang berfikiran negatif, soalnya kami masih baik," katanya.

Menjelaskan filem pertama arahannya Suami Aku Ustaz yang kini masih dalam proses pos produksi. Adi juga tidak menolak kemungkinan besar akan ditayangkan pada tahun ini. Tidak gentar untuk menghadapi kesuraman dunia perfileman Melayu kini, ada formula untuk soalan itu.

“Kalau tiada apa, kemungkinan filem itu akan ditayangkan tahun ini. Buat saya nak risau akan keadaan sekarang ini. Saya percaya kepada rezeki.

“Setakat ini pihak penerbit juga tidak ada masalah, cuma waktu tayangan itu yang masih belum dapat dijangka bila, memandangkan masih banyak filem yang menunggu untuk ditayangkan," katanya.

Selain itu Adi juga akan kembali ke pentas teater untuk pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang juga karya Hamka. Jelas teruja dengan peranan tersebut, Adi turut menyatakan pendiriannya mengenai karya ini.

“Saya memang beri komitmen kepada setiap kerja saya, sehingga kini saya akan selesaikan kerja saya satu persatu. Untuk pementasan teater ini saya akan pastikan untuk memberi komitmen yang terbaik.

“Saya memang teruja untuk melakonkan semua babak memandangkan saya antara pembaca karya Hamka," katanya.



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

0 ulasan: