Cavani enggan berpindah ke United
Manchester United menerima tamparan hebat apabila bintang penyerang Uruguay, Edinson Cavani menolak untuk berpindah ke Old Trafford.
Sumber : Foxsportmalaysia
Bagaimanapun juara Liga Perdana Inggeris itu semakin hampir untuk menandatangani pemain tengah Portugal, William Carvalho selepas mengemukakan tawaran 25 juta pound (RM136.28 juta) kepada Sporting Lisbon.
Pengurus United, David Moyes sebelum ini berjanji akan membelanjakan sehingga 200 juta pound (RM1.09 bilion) pada musim panas ini dan Cavani merupakan sasaran utama mereka.
Malah, United sedia membuat tawaran rekod kelab, 80 juta pound (RM436.09 juta) untuk menarik penyerang berusia 27 tahun itu dari Paris Saint-Germain (PSG).
Moyes juga sudah mengorak langkah untuk memancing Cavani sejak beberapa bulan lalu dengan bersedia menawarkan gaji sehingga 280,000 pound (RM1.25 juta) seminggu.
Akhbar Britain, Daily Star bagaimanapun melaporkan, Cavani telah menukar fikiran dengan menolak untuk menyertai United kerana menganggap kelab itu sedang mengalami kemerosotan.
"Dia tahu United berminat mendapatkan khidmatnya dan pada suatu peringkat, Cavani memikirkan bahawa idea tersebut agak menarik.
"Begitupun situasi terkini Manchester United membuatkan dia memikirkan semula mengenai tawaran itu.
"United sedang melalui perubahan yang amat besar dan Cavani merasakan sekarang bukan waktu yang sesuai untuk ke Old Trafford," kata sumber rapat pemain itu kepada Daily Star.
Menurut sumber itu lagi, Cavani menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan United di bawah pimpinan David Moyes.
Cavani menyertai PSG dari Napoli pada musim panas lalu menerusi bayaran 60 juta pound (RM327.07 juta), namun dia tidak gembira dengan peranan yang dimainkan bersama kelab Perancis itu.
Dia bermula baik dengan meledak 18 gol daripada 29 penampilan bersama pasukan tetapi sejak akhir-akhir ini Cavani kecewa dengan keputusan pengurus, Laurent Blanc yang tidak meletakkannya di posisi kegemarannya, penyerang tengah.
0 ulasan: