Outbrain

Hajat Selangor terencat di Maldives

Hajat Selangor terencat di Maldives

Impian Selangor untuk meraih tiga mata penuh pertama dalam persaingan Piala AFC masih tidak kesampaian apabila diikat oleh kelab Maldives, Maziya S&RC dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Kebangsaan Male semalam selepas penjaga gol, Mohd. Hamsani Ahmad menerima kad merah.

Memulakan permainan dengan begitu cemerlang, Selangor mendahului pasukan tuan rumah hasil jaringan pemain dari Australia, Steve Pantelidis pada minit ke-42 yang menyambar bola sepakan sudut oleh rakannya dari Brazil, Junior Aperecido namun rupanya nasib Red Giants tidak begitu baik.

Sebaik sahaja babak kedua bermula, Selangor terpaksa meratapi kehilangan penjaga gol veteran, Mohd. Hamsani yang menerima kad merah dengan tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti.

Ahmed Mohamed mudah menyempurnakan sepakan yang diberikan untuk mengikat kedudukan tetapi Selangor yang beraksi dengan 10 pemain selepas itu masih mampu memberi ancaman kepada kubu Maziya.

Walaupun begitu, kesilapan yang dilakukan oleh Mohd. Farizal Marlias yang masuk selaku penjaga gol gantian gagal diambil kesempatan oleh tuan rumah apabila tandukan Ahmad Rasheed sedikit tersasar.

Selangor kembali menguasai permainan dengan sepakan bebas yang diambil oleh K. Gurusamy hampir menemui sasaran pada minit ke-61 namun bola tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Mohamed Nishah.

Gerakan pemain dari Indonesia, Andik Vermansah dan Paulo Rangel 14 minit kemudian berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Maziya sebelum peluang keemasan yang diperolehi pada penghujung permainan oleh S. Kunanlan disia-siakan oleh pemain sayap kiri skuad kebangsaan itu yang gagal merembat tepat ke arah pintu gol.

Keputusan seri itu bagaimanapun dilihat masih sesuatu yang positif buat Red Giants kerana kini berada di tangga kedua Kumpulan F apabila pendahulu, Hanoi T&T dari Vietnam mencatatkan kemenangan ke atas Arema Indonesia dengan keputusan 3-1.

Hanoi T&T berada di tangga teratas dengan memungut enam mata penuh diikuti Selangor, 2 mata sementara Arema dan Maziya berkongsi satu mata.





Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 ulasan: