Outbrain

Gerak Khas tarik 3 juta penonton

Gerak Khas tarik 3 juta penonton

RAMAI penonton yang tahu bahawa Gerak Khas terbitan Skop Productions adalah drama bersiri tentang dunia kepolisan tempatan yang paling lama disiarkan di saluran televisyen (TV) iaitu selama 12 tahun di TV1.
Namun, menurut Pengarah Urusannya, Datuk Yusof Haslam, ada penonton yang tidak mengetahui drama terbitannya itu pernah mencatat jumlah penonton paling ramai di negara ini suatu ketika dulu.
"Drama bersiri Gerak Khas pernah mencatat rating tiga juta penonton sewaktu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kini Menteri Dalam Negeri) menjadi Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan lapan tahun lepas.
"Ketika itu juga drama bersiri ini pernah mengungguli carta sebagai drama bersiri yang paling ramai penonton televisyen negara ini selama tiga tahun berturut-turut," katanya sewaktu ditemui di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis pelancaran musim baharu Gerak Khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, beliau berkata rekod cemerlang sambutan para penonton terhadap siri itu berbaloi dengan penat lelah yang telah dicurahkannya selama ini.
Dia yang juga telah banyak kali mengarah Gerak Khas selain turut berlakon dalam drama itu menganggapnya yang paling mencabar dan terbaik dalam drama kepolisan yang pernah diterbitkan Skop Productions selama ini.
"Sebelum Gerak Khas saya juga telah mengarahkan drama bersiri Roda-Roda KL. Tetapi Gerak Khas lebih lama dan selama 12 tahun menerbit, mengarah dan berlakon dalam Gerak Khas saya memang betul-betul penat.
"Bagaimanapun Gerak Khas direhatkan pada 2011 dan baharu sekarang ia disambung semula. Dalam tempoh itu saya telah cuba menambahbaik pelbagai elemen dalam drama ini termasuklah penampilan para pelakonnya.


"Antaranya pelakon A. Galak direhatkan seketika untuk musim baharu ini di mana kami menampilkan beberapa muka baharu seperti Afiq Muiz dan C. Kumaresan. Ia bagi memberi kelainan dan peluang kepada muka-muka baru," ujarnya.
Jelas Yusof bukan setakat menampilkan ramai pelakon baru, Gerak Khas kali ini juga memperlihatkan wajah baharu yang lebih segar yang secara tidak langsung mampu untuk menaikkan lagi imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antaranya daripada segi skrip, lokasi serta jalan-jalan cerita tentang dunia kepolisan yang lebih mencabar yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa semasa yang sedang dan juga telah berlaku di negara ini.
"Kalau dulu contohnya kami menjalani penggambaran di IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) yang agak sempit ruangnya tetapi sekarang ini Bukit Aman pun sudah ada bangunannya yang baharu dengan ketinggian lebih 20 tingkat.
"Sekarang ini kalau penggambaran kami akan gunakan latar belakang bangunan di Bukit Aman kononnya kami sedang berada di tingkat 20. Jadi secara tidak langsung ia menampakkan lagi wajah PDRM yang lebih nampak maju," jelasnya.
Gerak Khas musim ini turut menampilkan pelakon seperti Salina Saibi, Shanorbiah Shamsir Alam dan Zabri Ibrahim akan disiarkan setiap Jumaat pukul 9 malam di TV2 RTM mulai 14 Februari ini.
Dalam perkembangan terbaharu Yusof turut menjelaskan Datuk AC Mizal yang sebelum ini melakonkan watak Inspektor Mazlan akan diambil semula berlakon dalam Gerak Khas setelah beberapa tahun tidak bersama siri itu.
"Saya sudah bercakap dengan AC dan dia bersetuju untuk membuat penampilan khas dalam Gerak Khas yang terbaharu ini. Dia masih berminat dengan drama ini tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana dia banyak komitmen.
Mungkin cara ini akan menarik perhatian lebih ramai penonton memandangkan AC juga ada peminatnya yang tersendiri," katanya.




Artikel Penuh:  © Utusan Melayu (M) Bhd 

0 ulasan: