Outbrain

Tanah sebagai bahan seni

Tanah sebagai bahan seni

SENI halus atau seni lukis merupakan satu cabang seni yang pelbagai medium seperti air, plastik, besi dan bahan terbuang. Bahan-bahan ini boleh dijadikan bahan mentah bagi menghasilkan karya seni yang menarik.

Terbaru mengenai pameran solo berjudul Stories From The Soil daripada pengkarya seni muda tanah air, Faizal Suhif. Ini merupakan salah satu seni yang cukup menarik untuk diperkatakan apabila Faizal cukup berani dalam cubaannya menggunakan keseluruhan bahan mentah yang berasaskan tanah.

Pameran yang bermula pada 3 Mac sehingga 22 Mac ini diadakan di G13 Gallery, Kelana Jaya merupakan pameran solo pertama yang menggunakan tanah sebagai bahan ujikajinya.

Menurut Faizal, pemilihan tanah sebagai bahan uji kajinya ini bersangkut paut mengenai kehidupannya selama ini. Jelasnya, dia sendiri membesar dalam keluarga petani atau lebih tepat lagi orang yang mengusahakan tanah.

"Idea bagi menghasilkan karya-karya dalam pemeran ini datangnya daripada pengalaman saya sendiri, saya dibesarkan dan hidup dalam keluarga petani,. Pengalaman ini cukup membuatkan saya teringat kepada tanah, tanah yang membesarkan saya, tanpanya saya tiada di sini.

"Apa yang saya mahu sampaikan melalui pameran ini adalah berkenaan kita sendiri iaitu sebagai manusia serta khalifah Allah di atas muka bumi ini, tanah merupakan rezeki Allah yang diserahkan kepada kita dan kita perlu berbakti kepada

pemberiannya itu.

"Ini merupakan metafora kehidupan kita. Sekiranya kita memerlukan hasil yang lumayan maka kita kena berusaha sebaik-baik mungkin, seperti juga kita berbakti kepada tanah, dengan bercucuk tanam daripada benih kita akan membaja, menyiram dan pelbagai lagi bagi mendapatkan hasil yang baik, itu adalah usaha kita.

"Itu juga merupakan satu ibadah yang besar kepada kita dan dengan usaha seperti itulah maka hasil yang diperolehi boleh dikongsi bersama," jelas graduan seni dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Tambahnya lagi, sekira tanah yang diutuskan kepada kita tidak diusahakan sebaik-baik mungkin itu merupakan satu kerugian yang cukup besar dalam kehidupan kita.

"Seperti juga pelukis, kita sudah diberikan kelebihan ini daripada pencipta kita, sekiranya kita tidak menggunakan kelebihan yang ada ini kita hanya akan menanggung rugi, kita tidak akan dapat apa-apa. Memang hal ini tidak lari daripada kehidupan kita, seperti tanah yang tidak diusahakan ia hanya akan merugikan kita sendiri.

"Bagi saya ini juga sebagai dakwah kita, ustaz dengan cara mereka, pelukis juga ada cara tersendiri dalam proses berdakwah, hasil karya lukisan boleh dijadikan panduan kepada peminat seni dalam memahami kehidupan seharian.

"Selain itu, kehidupan kita juga tidak akan lari daripada tanah kerana daripada tanah kita datang dan kepada tanah kita kembali," jelas Faizal lagi.

Disiplin

Sebanyak 25 buah karya dipamerkan dalam pameran kali ini. Jelas Faizal teknik yang digunakan kali ini adalah mengenai teknik cetakan.

"Saya gunakan teknik cetakan kerana teknik ini cukup rapat dengan tema yang saya pilih. Teknik ini juga mempunyai disiplin dan gerakannya yang tersendiri.

"Selain itu juga, teknik tersebut mempunyai eleman kejutan (element of suprise). Melalui teknik ini juga saya sebenarnya lebih kepada bereksperimentasi. Saya boleh cuba benda baru dan hasilnya juga sangat mengujakan.

"Saya menghasilkan karya-karya ini di kawasan kerja saya, saya ambil contoh tanah dan kemudiannya saya akan menghasilkan karya-karya itu dengan menggunakan perkakas seni saya. Saya menghasilkan semua karya ini selama lapan bulan bermula tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai perjalanan seninya, Faizal mula berkecimpung secara serius ketika habis belajar sekolah menengah, jelasnya dia pernah menyertai Kelab Pelukis Muar pada 2001 dan dari situ minatnya semakin menebal dalam seni.

"Kawan-kawan saya dalam kelab tersebut semuanya orang lama dan banyak pengalaman, sedikit demi sedikit saya belajar daripada mereka. Ketika di sekolah pelajaran seninya lain, di peringkat universiti pula lain.

"Dari situ baru saya tahu yang bidang seni ini luas, sehingga saya diterima masuk ke UiTM minat saya dalam bidang ini semakin menebal sehingga saya sanggup menghabiskan pengajian di peringkat sarjana seni tahun lalu," katanya.

Sebarang maklumat yang berkaitan pameran ini, bolehlah layari website www.g13gallery.com.



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

0 ulasan: